Persembahan ini merupakan sebuah persembahan pelajar ASWARA Semester 2 Tahun 2 Ijazah Sarjana Muda bagi subjek wajib lulus iaitu Produksi Teater Tradisional Mek Mulung (AWA 5232). Melalui persembahan ini, pelajar berpeluang untuk mempromosikan dan mementaskan teater tradisional yang terdapat di Kedah kepada masyarakat di Bandar Kuala Lumpur.
Memberi pengetahuan yang luas kepada khalayak dari aspek lakonan, pengarahan sinografi dan pengurusan tentang persembahan teater Mek Mulung, secara tidak langsung dapat menarik minat penonton terutama di kalangan remaja, pelajar dan ibu bapa. Seterusnya, memberi pendedahan kepada khalayak untuk mempelajari nilai-nilai murni melalui sebuah pementasan teater. Teater ini juga mempunyai pelbagai unsur hiburan selaras dengan citarasa penonton.
Mek Mulung Lakhon Dewa Muda merupakan sebuah teater tradisional yang mengisahkan cebisan kehidupan seorang putera tunggal yang mendapat alamat mimpi yang berkehendakkan beliau untuk keluar memburu haiwan sakti, berniat bagi keamanan buat negaranya. Maka putera raja itu pun keluar berburu dengan awang-awangnya, dalam perjalanan balik mereka terjumpa sebiji buah yang aneh dan bersakti. Berjayakah beliau beroleh keamanan negara? Apakah ancaman atau khabar berita yang dibawa oleh buah aneh lagi kesakti itu?






